Saturday, May 09, 2020

Ulasan Buku: Topeng oleh Bali Baim



Tajuk: Topeng
Siri: -
Pengarang: Bali Baim
Penerbit: Buku Fixi
Genre: Thriller, Horror
Format: E-book
Tarikh Terbitan: 27 April 2018
Mukasurat: 379

Sinopsis (Goodreads): Apa rasanya memakai topeng di hadapan manusia? Tersenyum masa marah, ketawa masa hati kelam. Aku dibuang sejak bayi dan hidup meringkuk dalam memori demi memori yang memberi kesan mendalam pada jiwaku, wajahku, kerana topengku kini berlapis-lapis. 

Aku hanya mahu satu, mak aku. Dan Bomoh Kisman perkenankannya dengan satu syarat: untuk aku tinggal di sebuah rumah yang mengandungi bilik-bilik rahsia, yang melambangkan topeng-topeng paling berat aku pakai.

Mampukah aku hadapi memori paling hodoh dalam lipatan sejarah hidupku? Berhadapan topeng-topeng muka yang memberi derita?

Aku akan hadapi semua memori jijikku. Dan selamat datang dunia kegelapan topeng.

;

Rating: 3 / 5 ★

Disebabkan aku dah lama tak baca apa-apa buku dalam bahasa Melayu, lepas habis baca Topeng, aku jadi teringin nak tulis ulasan buku dalam bahasa Melayu. Aku boleh jamin cara penulisan aku akan berbunyi agak janggal sebab aku dah lama tak menulis esei panjang dalam bahasa Melayu (kecuali atas keterpaksaan beberapa subjek berbahasa Melayu di universiti), tapi harapnya berjayalah aku habiskan ulasan buku untuk Topeng ini tanpa menggunakan sepatah perkataan dalam bahasa Inggeris langsung ✨

Baiklah, Topeng merupakan sebuah kisah mengenai Hasnan yang menjalani kehidupannya secara ber"topeng". Topeng di sini bukanlah bermaksud topeng secara zahir, tetapi topeng yang menggambarkan lapisan kepura-puraan yang ditunjukkan pada orang sekeliling. Hasnan berpura-pura dalam berkeadaan baik di hadapan semua orang supaya tiada yang boleh ketahui tentang kisah silamnya.

Hasnan kehilangan maknya sejak kecil, dan insan itulah satu-satunya insan yang Hasnan mahukan dalam hidupnya. Atas alasan rindukan maknya jugalah, Hasnan nodai ramai gadis kerana hendak mencari "kasih sayang" yang dia kekurangan daripada seorang wanita, walaupun dia sendiri sedar itu bukanlah jalan yang terbaik. Sampai satu tahap, terdesak hendak mencari maknya, Hasnan menggunakan khidmat Bomoh Kisman. Syaratnya dia perlu tinggal di sebuah rumah yang ada bilik rahsia, dan disinilah segala kisah silam Hasnan terbongkar.

Awal sekali aku baca sinopsis buku Topeng ni, aku rasa sangat tertarik akan plot dia. Dan boleh aku katakan memang secara keseluruhan, idea disebalik cerita Topeng ini sangat bagus dan banyak yang boleh dipelajari melaluinya. Cuma, aku rasakan jalan penceritaannya tidak berapa baik. Cara penulisan pengarang agak bersepah, sebab terlalu banyak situasi imbas kembali yang tidak disusun secara baik sampai tahap aku keliru nak memahami jalan penceritaan. Aku rasa sekiranya penulis meletakkan tarikh atau sekurang-kurangnya umur Hasnan dalam setiap situasi, mungkin pembacaan boleh jadi lebih lancar.

Walaupun aku tidak bersetuju dengan cara kehidupan Hasnan yang kerap tidur bersama perempuan-perempuan, aku hargai sisi Hasnan yang tahu akan dirinya seorang pendosa dan dia masih cuba sedaya upaya untuk menjadi seseorang yang lebih baik. Bagi aku, ini membuatkan watak Hasnan lebih realistik, sebab aku boleh nampak pergelutan dia sebagai seorang hamba Allah. Aku juga kagum kerana walaupun bermacam-macam dugaan yang Hasnan tempuhi, dia masih sanggup bergelut dengan kehidupan dan hendak mencari maknya tanpa putus asa.

Watak lain seperti Fairuz dan Kak Dois pun sedikit sebanyak membantu menjadikan Topeng cerita yang lagi menarik. Kadang-kadang aku rasakan Fairuz ni watak yang agak menjengkelkan sebab dia terlalu nak berkepit dengan Hasnan sentiasa, tapi ada juga gunanya kewujudan Fairuz di sisi Hasnan. Dari awal aku rasakan Fairuz ni bukan seorang kawan yang "biasa-biasa" saja dan mereka berkawan mesti sebab kisah silam Hasnan. Pada penghujung cerita memang betul tekaan aku tentang Fairuz ni. Cuma aku tak tersangka dengan cara bagaimana persahabatan Hasnan dan Fairuz ni bermula.

Secara keseluruhan, Topeng merupakan sebuah cerita yang menarik, lengkap dengan elemen misteri dan seram. Aku puas dengan cara cerita ni berakhir sebab boleh katakan yang aku tak sangka cerita ni akan berakhir sebegitu. Aku cuma tak berapa gemar dengan cara penulisan yang agak berterabur dan juga satu lagi, siapa sebenarnya Bomoh Kisman dan macam mana dia dapat bantu Hasnan cari maknya? Persoalan ni sampai ke akhir tak terjawab, jadi aku anggap memang Bomoh Kisman gunakan cara yang bomoh-bomoh suka lakukanlah.

;

Hanya sebab Dia tak beri beri kehendak kau sampai kau nak protes? Kau ingat kau siapa? Tuhan kepada Tuhan?



Hingga berjumpa lagi ♡ Tulus ikhlas, Aishah Humaira'

Post a Comment