Monday, July 27, 2020

BlogTwit Tour bersama Sumpah oleh Shaz Johar


Tajuk: Sumpah
Siri: -
Pengarang: Shaz Johar
Penerbit: Buku Fixi
Genre: Seram
Format: Paperback
Tarikh Terbitan: 25 Jun 2020
Mukasurat: 292

Sinopsis (Goodreads): Kerana desakan hidup, Lela Palatute yang baru berusia 12 tahun telah dikahwinkan dengan seorang lelaki yang jauh lebih tua oleh ibunya sendiri. Dia kemudian terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang isteri dalam sebuah banglo mewah yang diwarisi suaminya, jauh dari kehidupan lamanya sebagai remaja yang masih bersekolah.

Semasa menerokai banglo itu dan kawasan sekitarnya, dia telah bertemu seorang wanita tua yang mahu membunuhnya serta makhluk misteri di dalam loteng yang sering mengikutnya ke mana-mana. Enggan terus hidup diselubungi misteri, Lela merancang cara untuk kembali kepada kehidupan asalnya dan keluar daripada malapetaka yang sedang berlaku.

;

Rating: 4 / 5 ★

Sumpah menceritakan kisah tentang Lela, seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang terpaksa berkahwin dengan seorang lelaki tua atas desakan hidup. Lelaki tersebut boleh dikatakan sama umur dengan ayahnya sendiri yang telah meninggal dunia. Tidak lama setelah dipaksa menjadi isteri orang pada umur yang sangat muda, Lela dipaksa berpindah dengan suaminya ke sebuah banglo mewah, dan di situ kehidupannya semakin buruk dihantui dengan pelbagai masalah dan misteri.

Pada asalnya, aku teragak-agak untuk sertai BlogTwit Tour ini selepas membaca sinopsis Sumpah, kerana aku cukup tidak suka dengan subjek child marriage. Tetapi pada masa yang sama, aku juga tertanya-tanya kenapa ibu watak utama sendiri sanggup mengahwinkan anaknya dengan lelaki tua tu, dan aku juga tertarik dengan wanita tua dan makhluk misteri yang akan menghantui watak utama tersebut. Sepanjang aku baca Sumpah, hati aku memang panas membuak-buak dengan manusia yang membenarkan Lela dikahwinkan dengan lelaki yang jauh sangat tua daripadanya, dengan alasan jika Lela tak berbuat demikian, keluarga mereka tidak akan mampu bertahan hidup tanpa sebarang harta.

Yang paling aku tak tahan, orang yang mengakui beragama tu sendiri yang mengatakan Lela patut dikahwinkan. Aku sebagai pembaca memang rasa nak menjerit je. "Orang-orang agama" seperti inilah yang merosakkan nama baik Islam tu sendiri sebab suka nak guna agama untuk justify kehendak nafsu masing-masing. Sepatutnya, sebagai anak yatim, Lela patut dibantu oleh orang kampung dari segi sumbangan, bukannya menyerahkan seluruh hidup dia pada orang tua yang mengambil kesempatan keatasnya. Tetapi itulah realiti sedih bagi banyak kanak-kanak perempuan sehingga ke hari ini, mereka yang masih muda dan naif tidak mampu hendak melakukan apa-apa untuk selamatkan diri mereka, termasuklah Lela Palatute sendiri.

Dari segi plot, aku memuji cara penceritaan penulis. Aliran cerita senang untuk dibaca dan mudah difahami, serta penulis juga berjaya masukkan beberapa babak yang aku rasa agak menghiburkan yang membuatkan Sumpah tidak terlalu serius dan bosan untuk dibaca. Aku seorang saja ke yang tergelak bila penulis masukkan "aura calon ke 19", barangkali untuk menyindir orang yang asalnya menggunakan ayat tersebut? 😂 Selain itu, babak-babak ngeri dimana lembaga hitam muncul untuk menghantui Lela pun aku suka, boleh kata meremang jugalah bulu roma semasa membacanya. Sengaja aku membaca Sumpah pada waktu malam ketika duduk di rumah kayu nenek aku di kampung untuk ambil mood, memang memuaskan.

Aku juga sangat suka dan kasihan dengan watak Lela. Pada umur yang sangat muda, Lela dipaksa untuk berkahwin, dipaksa untuk menjadi dewasa dan fikir bagaimana hendak melayan suami. Peluang dia untuk menjalani kehidupan kanak-kanak dan membesar dengan baik hilang macam itu saja, dek kerana orang dewasa yang tidak bertanggungjawab. Memang untuk keseluruhan cerita ini, memang tiada seorang dewasa pun yang benar-benar fikir tentang kebaikan untuk Lela. Aku rasa jijik dan marah dengan setiap seorang daripada mereka, termasuklah ibu Lela sendiri yang asyik memarahi Lela bila Lela cuba mengadu, bukannya melindungi Lela.

Pada asalnya, selepas membaca sinopsis Sumpah, aku mengagak yang elemen seram dan misteri akan muncul selepas Lela berpindah ke rumah banglo suaminya, namun aku salah. Makhluk misteri yang menghantui Lela itu ada daripada awal lagi, membuatkan aku tertanya-tanya mengapa Lela dihantui dengan sangat teruk. Walaupun muda, aku dapat lihat yang Lela ni bukan seorang yang mudah patah semangat. Dalam ketakutan dia atas dunia baru yang langsung tidak diketahuinya ditambah pula dengan makhluk misteri yang mengganggu kehidupan hariannya, Lela masih berani untuk berusaha mencari jawapan dengan caranya sendiri. Pada penghujung Sumpah, apabila segalanya terbongkar, aku memang kagum dengan cara penulis simpulkan cerita ini.

Secara keseluruhan, walaupun aku rasa marah sepanjang membaca Sumpah, namun aku mengakui yang aku sangat suka dengan buku ini dan memang aku akan cuba untuk membaca karya Shaz Johar yang lain pada masa akan datang. Terdapat banyak mesej penting yang diberi perhatian dalam buku ini, termasuklah child marriage, rape, ilmu hitam, keadaan terdesak kerana kedaifan, penggunaan agama sebagai alasan untuk mengikut nafsu, serta peranan wanita yang dikatakan tidak boleh melakukan apa-apa untuk diri sendiri tetapi cuma memuaskan hati suami. Wanita dan kanak-kanak perempuan berhak untuk hidup demi kebahagiaan mereka sendiri.

Terima kasih kepada Buku Fixi dan Untitled Book Club kerana menganjurkan BlogTwit Tour bersama Sumpah oleh Shaz Johar. Jangan lupa untuk membaca ulasan buku Sumpah daripada book bloggers yang lain!


;

"Jujur Pak Hadir cakap, selama Pak Hadir hidup, dah 18 orang yang cuba nak jadi isteri Pak Hadir, tapi semuanya Pak Hadir tolak dengan mudah. Tiba Lela, calon yang ke-19, Pak Hadir tak dapat nak tolak entah kenapa. Aura Lela terlalu kuat." Sepotong mangga disuapkan ke mulutku.

"Aura tu apa?"

"Lela menyesal ke kahwin dengan Pak Hadir?"

Ya. Tapi aku hanya diam.



Hingga berjumpa lagi ♡ Tulus ikhlas, Aishah Humaira'

Post a Comment