Wednesday, February 23, 2022

Reviu Buku: Miss Makeover oleh Izanor Sharif



Penilaian saya: 4 / 5 ★

Tiada sesiapa yang sempurna atau tak pernah melakukan kesalahan. Apa yang penting, awak sudah tinggalkan semuanya dan ada usaha untuk berubah.

Miss Makeover menceritakan tentang kisah dua orang gadis yang berbeza personaliti menjadi sahabat baik. Ozelyn yang berperwatakan ganas, pemarah dan anti sosial ingin mengubah personalitinya dengan bantuan Leia, seorang gadis Instafamous yang mempunyai ramai pengikut dan baik hati. Buku ini berkongsi bagaimana Leia menjadi jurulatih peribadi dalam misi 'makeover' Ozelyn menjadi gadis ayu.


Pada permulaan cerita ini, semasa Ozelyn belum memasang niat untuk berubah, jujur saya katakan saya tidak suka dengan wataknya. Dia membuli pelajar lain tanpa sebab dan bercakap dengan nada kasar kepada hampir setiap orang. Bagaimana mungkin saya mahu memberi empati kepada seseorang yang bersikap seperti ini? Namun apabila Ozelyn bertembung dengan crush dia di sekolah dan cuba untuk berubah menjadi seorang gadis (percubaan yang tidak berjaya), saya mula merasakan wataknya agak kelakar dan saya mahu tahu lebih lanjut mengenai wataknya: mengapa dia bersifat kasar dan adakah dia mampu untuk berubah?


Semasa Leia menunjuk minat untuk membantu Ozelyn berubah, saya tidak dapat faham niatnya kerana Ozelyn tidak pernah berbaik dengannya. Namun bila sebabnya dijelaskan, saya faham mengapa persahabatan di antara Ozelyn dengan Leia dapat terjalin. Saya suka dengan sikap Leia yang tegas dan tidak berputus asa dengan Ozelyn. Ozelyn pula layak dipuji kerana walaupun dia letih dengan latihan Leia, dia tidak berputus asa juga.


Gaya penulisan buku ini pula santai dan ringan, sesuai untuk bacaan umum terutamanya remaja atau sesiapa sahaja yang baru hendak mula membaca novel. Mesej yang disampaikan dalam novela ini juga sangat baik. Antara mesej yang paling saya gemari ialah jika kita hendak berubah, kita janganlah cuba menjadi orang lain. Kita sepatutnya cuba menjadi versi diri kita yang lebih baik, terhadap diri kita sendiri dan orang lain.


Walaupun saya suka dengan jalan cerita dan mesej Miss Makeover, terdapat beberapa bahagian yang saya tidak bersetuju dan saya rasa boleh diperbaiki. Antaranya ialah penggunaan rambut palsu dalam latihan Leia. Sekiranya anda tidak mengetahuinya, rambut palsu adalah haram bagi orang Islam, kecuali atas sebab-sebab tertentu yang memudaratkan (botak/rambut terlalu sedikit dan mendapat kata-kata keji daripada orang sekeliling, dll.).


Dalam Miss Makeover, Leia memaksa Ozelyn memakai rambut palsu panjang demi kecantikan. Walaupun Ozelyn bertanya kepada Leia apakah hukum memakai rambut palsu, jawaban Leia yang agak acuh tak acuh yang mengatakan mungkin berdosa mungkin tidak, boleh menimbulkan kekeliruan bagi pembaca muda. Walaupun watak Leia dan Ozelyn juga remaja yang tidak mahir tentang hukum agama, penulis tidak sepatutnya meletakkan elemen seperti ini yang boleh mengelirukan.


Selain itu, saya juga tidak bersetuju dengan beberapa ajaran Leia seperti memaksa Ozelyn memakai pakaian yang dilabel 'feminin' seperti skirt atau baju bercorak bunga dan warna pastel sahaja. Dia juga menyuruh Ozelyn mencari hobi yang bercirikan 'gadis' seperti 'membaca'. Pertamanya, stail adalah terbuka kepada kehendak masing-masing. Memang bagus Leia membantu Ozelyn mencuba stail baru, tetapi dengan mengatakan dia perlu menolak tepi koleksi topinya yang berwarna gelap kerana warna tersebut tidak menarik adalah agak melampau.


Apakah pula maksud hobi yang bercirikan 'gadis'? Jika seseorang perempuan gemar bersukan atau aktiviti lasak, adakah itu bermakna hobinya tidak menunjukkan dirinya seorang gadis? Saya juga tidak gemar dengan mesej yang mengatakan 'membaca' itu hobi yang bercirikan gadis kerana tiada masalah sekiranya seseorang lelaki mahu untuk membaca. Ini akan menimbulkan kekeliruan yang tidak patut kepada pembaca muda.


Secara keseluruhannya, saya masih menyukai Miss Makeover. Sedikit kekurangan yang saya sebutkan di atas pula mungkin disebabkan faktor watak itu sendiri. Novela ini mudah untuk dihadam dalam masa singkat dan sangat sesuai untuk pembaca muda serta bacaan umum.


Berbanyak terima kasih kepada pihak penerbit Bookiut kerana menghantar senaskhah Miss Makeover kepada saya untuk saya reviu secara jujur. Sekiranya anda berminat untuk mendapatkan Miss Makeover, bolehlah membelinya secara atas talian di laman sesawang PTS Media: https://pts.com.my/imprint/bookiut



・・・・・・✧・・・・・・✧・・・・・・ 

Judul: Miss Makeover
Siri: -
Penulis: Izanor Sharif
Penerbit: Bookiut
Genres: Novela, Remaja, Kontemporari
Format: Berkulit lembut
Tarikh Penerbitan: 2022
Bilangan mukasurat: 111

Sinopsis (Goodreads): “Adakah saya akan jadi model yang popular?”

Kisah tentang Ozelyn yang berwatak ganas, pemarah dan anti sosial ingin mengubah personaliti dan dibantu oleh Leia, seorang gadis Instafamous yang mempunyai ramai pengikut dan baik hati.

Adakah impian Ozelyn mahu jadi gadis sejati akan tercapai?

Adakah Leia sebagai jurulatih peribadi berjaya melaksanakan misi ‘makeover’ terhadap si gadis ganas?
・・・・・・✧・・・・・・✧・・・・・・ 

Sehingga berjumpa lagi ♡ Yang ikhlas, Aishah Humaira'

Post a Comment